. |
14 Sept. 2011/16 Syawal 1432
8.30 Pagi.
KENYATAAN RASMI
Pengerusi Tabung Kebajikan Al Masakin Padang Terap (Terapcare) Isu Fitnah
Bismillahirahmanirahim. Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT yang mentadbir alam ini yang juga memberi kita segala nikmat untuk kita hidup dibumiNya yang sementara ,Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW utusan Allah yang diutuskan kepada umat manusia untuk mengamalkan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarangNya.
Akhir-akhir ini Tabung Kebajikan Al Masakin Padang Terap atau lebih dikenali sebagai Terapcare menjadi sangat terkenal dan menjadi sebutan ramai orang. Semakin ramai yang simpati dan terus mempercayai Terapcare untuk menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.
Tiada siapa yang menyangka, dalam masa yang cukup singkat, Terapcare yang menjadi tempat berkumpul ribuan anak muda ini begitu cepat berkembang. Ramai anak muda yang menyertai serta mendapat sentuhan faedah dari menyertainya. Program pengajian, aktiviti santai, sukan, kegiatan kebajikan dalam bentuk sumbangan, konvensyen, kenduri serta berbagai program yang menyentuh jiwa anak muda berjaya dilaksanakan. Semuanya dilakukan demi berbakti kepada masyarakat Padang Terap yang kami cintai. Memang ada banyak persatuan lain yang menyumbang kepada pembangunan daerah daerah yang terpencil dan damai ini. Baguslah, Firman Allah "Fastabiqul khairat" yang bermaksud "Berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan".
Semua ahli faham dan tahu, matlamat utama kami ialah membantu masyarakat yang kurang kemampuan sekitar daerah Padang Terap. Kami gembelengkan anak-anak muda yang berminat dan sanggup melakukan kerja secara sukarela. Kami bukannya syarikat perniagaan mahupun parti politik. Tiada dalam kepala kami ingin tubuhkan parti politik.
Kepada pengkritik kami, yang benci dan dengki kepada kami, yang cuba memusnahkan kami dan ingin melihat Terapcare ini berkubur. Kami ingin bertanya ...
1) Salahkah kami berbakti kepada masyarakat kami?
2) Salahkah kami memberi semangat kepada anak-anak muda untuk menolong orang miskin.?
3) Salahkah kami membantu anak-anak orang miskin yang ingin bersekolah, kami tampung pelajaran mereka.?
4) Salahkah kami membiayai anak angkat yang kehilangan ibu-bapa dan miskin?.
5) Salahkah kami cuba membangunkan sebuah Maahad Tahfiz demi memajukan pendidikan adik-adik, anak-anak, dan saudara mara kami?.
6) Salahkah kami membantu menyalurkan sumbangan mereka yang berkemampuan untuk membaiki rumah-rumah penduduk yang miskin.?
7) Salahkah kami memilih YB Ustaz Nasir Zakaria menjadi penaung kami. Ini NGO kami. Kami berhak memilih siapa sahaja.?
8) Salahkah kami bersama mereka mereka mempelajari ilmu-ilmu agama. Mereka ditinggalkan dan tiada siapa yang peduli. Tiada ustaz atau ulamak yang datang dan sanggup berhujan dan berpeluh bersama mereka dan membimbing mereka.?
Ya Allah, kenapa mereka irihati kepada kami?
Ya Allah, kenapa mereka hina ahli-ahli kami?
Ya Allah, kenapa mereka fitnah dan ini memusnahkan kami?
Ya Allah, kenapa mereka adu domba sesama kami?
Ya Allah, kenapa mereka yang dengki kepada kami ini, tidak buat yang lebih baik dari kami dan kami boleh belajar dari kejayaan mereka untuk membantu hamba-hambaMu yang lemah dan memerlukan?
Ya Allah kenapa mereka tidak ajar kami sekiranya kami salah?
Ya Allah kenapa mereka berjiwa kecil dan berotak kerdil
Ya Allah, kami mengadu kepadaMu untuk menguruskan mereka ini. Pemilik blog yang memfitnah kami, kami doakan Allah membalas perbuatan kamu. Sekiranya kamu berjaya lemahkan pergerakan kami, kami doakan kamu dihancurkan oleh Allah sekiranya TIADA PERMOHONAN MAAF TERBUKA DALAM MASA TIGA HARI. kami akan himpunkan anak muda dan ahli-ahli kami untuk bermunajat kepadaMu Ya Allah.Dialah pemilik alam ini. Dialah Pemberi Rezeki. Dialah yang menghidupkan yang mati, dan mematikan yang hidup. Ya Allah, kami serahkan kepada Engkau untuk menguruskan manusia yang dengki ini.
Kepada ahli-ahli Skuad Cakna, semoga anda tabah dan lebih bersemangat berbakti. Saya tidak penting, agama lebih penting. Saya akan terus bersama dengan anda semua. Saya dan anda semua akan terus berbakti demi Allah untuk negara dan bangsa serta seluruh rakyat Padang Terap khususnya. Saya bangga dengan anda semua. Terima kasih atas sokongan dan kesungguhan anda semua ,menyumbang kepada NGO yang kita sayangi ini. YaAllah bantulah kami, keluarga kami, pemimpin-pemimpin kami. Ya Allah ampuni dosa kami, dosa ibubapa kami, kawan-kawan kami dan seluruh muslimin dan muslimat samada masih hidup atau sudah mati. Amin. Sekian.
Mohd Hamizan Amzah
Pengerusi,
Tabung Kebajikan Al Masakin Padang Terap(Terapcare).
amin...
ReplyDelete